PUTRAJAYA, 6 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menerima kunjungan hormat Director Navy International Program Office (NIPO), Rear Admiral Raymond Owen ke atas Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam bidang keselamatan maritim.
Kunjungan berkenaan yang berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya itu menjadi platform penting bagi membincangkan potensi kerjasama yang lebih menyeluruh, khususnya dalam aspek perkongsian kepakaran, latihan bersama, pertukaran maklumat dan pembangunan keupayaan operasi maritim.
Dalam pertemuan tersebut, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli menzahirkan penghargaan atas kesediaan pihak NIPO untuk memperkukuh jaringan kerjasama dengan Maritim Malaysia, selaras dengan komitmen agensi dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.
Beliau turut menegaskan bahawa hubungan strategik bersama rakan antarabangsa amat penting dalam menangani cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks termasuk jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pencerobohan perairan dan aktiviti perikanan haram (IUU Fishing).
Rear Admiral Raymond Owen pula menyatakan komitmen pihaknya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Maritim Malaysia, selain menyifatkan hubungan erat di antara kedua-dua pihak sebagai langkah signifikan ke arah kestabilan keselamatan maritim di rantau ini.
Pertemuan ini mencerminkan kesungguhan Maritim Malaysia dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa demi meningkatkan kesiapsiagaan operasi, memperkasa pembangunan modal insan serta memperkukuh keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim negara.
Maritim Malaysia kekal komited untuk terus menjalinkan kerjasama strategik bersama rakan serantau dan antarabangsa bagi memastikan perairan negara berada dalam keadaan aman, selamat dan terkawal.

















.svg.png)

