LUMUT, 31 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menerima Lawatan Kerja Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah (JKPK TIA), Dewan Negara ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak, semalam.
Lawatan yang diketuai Pengerusi JKPK TIA, YB Senator Dato’ Setia Salehuddin bin Saidin, bertujuan meninjau secara langsung keupayaan operasi, tadbir urus serta pelaksanaan penguatkuasaan keselamatan maritim di peringkat negeri.
Delegasi disambut oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, bersama Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob serta barisan pegawai kanan Maritim Malaysia.
Sepanjang lawatan, delegasi diberi pendedahan mengenai operasi rondaan maritim, keupayaan aset serta penggunaan teknologi pengawasan laut, termasuk lawatan ke Pusat Kawalan Utama Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Perak bagi menyokong penguatkuasaan yang lebih berkesan dan berintegriti.
Satu sesi perbincangan dua hala turut diadakan, sebagai platform pertukaran pandangan secara konstruktif antara JKPK TIA dan pihak Maritim Malaysia berhubung cabaran keselamatan maritim serta keperluan strategik agensi.
Lawatan ini mencerminkan pengiktirafan dan sokongan berterusan pihak Parlimen terhadap peranan Maritim Malaysia sebagai agensi utama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara. Sesi lawatan diakhiri dengan sesi interaksi bersama delegasi.





















.svg.png)

