KOTA KINABALU, 14 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima lawatan kerja rasmi Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim bagi menilai tahap pengurusan, keperluan aset serta kesiapsiagaan fasiliti operasi di negeri ini, selama dua hari bermula 12 Januari dan berakhir semalam.
Pengarahnya Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali berkata, lawatan berkenaan diadakan bagi memberi tumpuan kepada pengukuhan pengurusan kewangan, keberkesanan aset dan kemudahan sokongan operasi, selari dengan keperluan strategik Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan dan penguatkuasaan maritim di perairan Sabah kekal optimum.
“Antara pengisian utama lawatan ialah tinjauan ke atas aset operasi Maritim Malaysia, termasuk Ex-USCG Cutter Steadfast dan Kapal Maritim (KM) BANGGI, bagi menilai tahap kesiapsiagaan, penyelenggaraan serta keperluan operasi semasa,” tambah beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai mengiringi para delegasi lawatan.
Turut serta pada lawatan itu ialah Ketua Penolong Pengarah Belanjawan Negara dari Pejabat Belanjawan Negara (NBO), Encik Shahri bin Ahmad Shaharuddin, Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Encik Wan Saifulikmal bin Wan Abdul Rahman serta Pengarah Bahagian Kewangan dan Belanjawan Maritim Malaysia, Dato’ Barkhiya bin Shahiruddin.
Terdahulu, delegasi telah mengadakan sesi perbincangan bersama pihak Limbungan Kinabalu North Shipyard & Maritime Sdn Bhd (KNSM) semalam, bagi memfokuskan perancangan jangka panjang keperluan fasiliti.
Perbincangan tersebut meliputi aspek penyelenggaraan aset dan cadangan penambahbaikan kemudahan sokongan bagi memastikan keupayaan operasi Maritim Malaysia sentiasa berada pada tahap terbaik.
Lawatan rasmi berkenaan diteruskan pada pagi tadi dengan Mesyuarat Rundingan Harga Kuarters bagi membincangkan pengurusan kemudahan kediaman serta implikasi kewangan yang berkait rapat dengan kebajikan dan kesejahteraan warga Maritim Malaysia di Sabah.
Secara keseluruhan, lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan pengurusan tertinggi Maritim Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus, pengurusan aset dan fasiliti, sekali gus menyokong kelangsungan tugas penguatkuasaan serta keselamatan maritim di perairan Sabah.





















.svg.png)

