MIRI, 2 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merakamkan ucapan takziah dan dukacita atas pemergian seorang anggota dari Zon Maritim Miri, Pegawai Waran II Maritim Fazil bin Amran, pada awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad memaklumkan bahawa Allahyarham telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.45 pagi akibat sakit jantung ketika menerima rawatan di Hospital Miri.
Sebagai tanda penghormatan terakhir, satu istiadat penghormatan telah dilaksanakan dengan penuh tertib dan teratur sebelum jenazah Allahyarham dihantar pulang ke kampung halaman bagi urusan pengebumian. Istiadat tersebut telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Maritim Negeri Sarawak, Kepten Maritim Simon Templer Ak Lo Tusa.
Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan pada hari ini jam 9.00 pagi di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ubudiyyah, Kampung Sematang Serdang, Simpang Ampat, Perlis.
Istiadat penghormatan ini melambangkan semangat setiakawan serta penghargaan Maritim Malaysia terhadap jasa dan pengorbanan Allahyarham yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
Dalam kesempatan tersebut, Kepten Maritim Simon Templer turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta menyampaikan sumbangan kebajikan sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada waris Allahyarham.
Maritim Malaysia sentiasa menghargai dan mengenang jasa serta bakti setiap pegawai agensi yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi demi keselamatan perairan dan kepentingan negara.
Semoga roh Allahyarham Pegawai Waran II Maritim Fazil bin Amran dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.





















.svg.png)

