KUALA TERENGGANU, 1 JANUARI - Maritim Malaysia Negeri Terengganu telah melaksanakan Majlis Penyerahan KM BAGAHAK selepas kapal tersebut berjaya menamatkan proses refit dan repowering sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan agensi dalam memperkukuh kesiapsiagaan aset dan keupayaan operasi maritim negara.
Skop kerja naik taraf yang dilaksanakan merangkumi pembaikan struktur kapal, penambahbaikan sistem sokongan serta penggantian enjin baharu yang lebih cekap dan berprestasi tinggi. Pelaksanaan inisiatif ini bertujuan memastikan KM BAGAHAK kekal beroperasi secara optimum, selamat dan berdaya saing dalam menyokong keperluan operasi jangka panjang.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang, kejayaan pelaksanaan proses refit dan repowering ini membolehkan KM BAGAHAK kembali beroperasi pada tahap kesiapsiagaan maksimum bagi melaksanakan tugasan penguatkuasaan undang-undang maritim, rondaan keselamatan, operasi carilamat (SAR) serta perlindungan keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
KM BAGAHAK dijangka ditempatkan semula bagi menyokong operasi maritim di perairan negeri Terengganu selaras dengan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan kesiapsiagaan aset sentiasa berada pada tahap terbaik.
Majlis tersebut turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia serta wakil MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd, selaku pihak yang terlibat dalam pelaksanaan kerja-kerja refit dan repowering kapal berkenaan.





















.svg.png)

