KUANTAN, 19 DISEMBER – Seramai 217 calon Pelatih Asas Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaporkan diri di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) bagi memulakan latihan asas Maritim Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, seramai 46 orang merupakan calon Pelatih Asas Leftenan Muda Maritim Gred T8, manakala 171 orang lagi ialah calon Pelatih Asas Laskar Kelas II Maritim Gred T1, termasuk 10 orang wanita.
Kesemua calon yang melaporkan diri akan menjalani latihan asas selama tempoh 10 bulan sebelum ditempatkan di kapal-kapal Maritim Malaysia bagi menjalani latihan sambil kerja (LSK) selama tiga bulan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada semua yang telah terpilih untuk dilantik sebagai pegawai dan anggota Maritim Malaysia pada kali ini.
“Khidmat bakti yang akan kamu curahkan nanti adalah satu bentuk pengorbanan dan pengabdian kepada negara dan dan bangsa,"
"Kamu semua bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan perairan negara dan melindungi sumber-sumber maritim kita daripada sebarang ancaman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ketika Majlis Penyerahan Pelatih kepada AMSAS pagi tadi setelah melalui proses melapor diri pada 17 Disember lalu.
Turut hadir Pengarah Bahagian Kewangan, YBhg. Dato' Barkhiya bin Shahiruddin, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Haji Mohd Hamzah Murghayah bin Abdullah serta Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun.
Pengambilan serentak Pelatih Asas Pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ini dijangka menyumbang kepada peningkatan kekuatan keanggotaan Maritim Malaysia.
Dari sudut pembangunan sumber manusia, Maritim Malaysia komited untuk memastikan sebanyak 5,473 perjawatan yang telah diluluskan dapat diisi sepenuhnya menjelang tahun 2026.
Melalui pengambilan ini, kadar pengisian perjawatan Maritim Malaysia dijangka meningkat daripada 89.3 peratus kepada 93.3 peratus, sekali gus memperkukuh keupayaan organisasi dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan undang-undang serta mencari dan menyelamat di perairan negara.





















.svg.png)

