MERSING, 18 DISEMBER - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Mersing menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong usaha pemuliharaan ekosistem marin menerusi penglibatan aktif bersama agensi tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pemuliharaan marin, pengusaha bot serta komuniti setempat.
Penglibatan itu dizahirkan dalam satu sesi perkongsian dan libat urus yang diadakan di Mersing, bagi tujuan membentangkan dapatan serta membincangkan usaha pemuliharaan marin yang sedang dan akan dilaksanakan di pulau-pulau di sekitar perairan di negeri Johor.
Program berkenaan membentangkan hasil utama Pemantauan Kesihatan Terumbu Karang Kepulauan Mersing 2025 ( The 2025 coral reef health monitoring ) di samping menyorot status semasa spesies marin yang dilindungi, khususnya penyu, yang merupakan antara khazanah biodiversiti negara yang signifikan.
Menurut wakil Zon Maritim Mersing, Maritim Malaysia sentiasa memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memastikan perairan negara, termasuk kawasan sensitif seperti taman-taman laut agar sentiasa dilindungi daripada sebarang ancaman seperti aktiviti pencerobohan, pencemaran dan pelanggaran undang-undang maritim.
Selain itu, satu platform komunikasi turut diperkenalkan bagi menggalakkan penglibatan aktif komuniti tempatan, pengusaha bot dan agensi berkaitan dalam usaha melindungi serta memelihara ekosistem marin khususnya di Mersing secara bersepadu dan berterusan.
Maritim Malaysia berpandangan bahawa jalinan kerjasama pelbagai pihak merupakan elemen penting dalam memastikan kelestarian sumber marin dapat dipelihara untuk generasi akan datang, selari dengan tanggungjawab agensi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.





















.svg.png)

