SANDAKAN, 16 DISEMBER - Komitmen berterusan dalam memperkukuh keselamatan perairan negara diterjemahkan melalui pengoperasian semula Kapal Maritim (KM) KOTA BELUD dan KM BALUNG selepas selesai menjalani kerja pembaikan dan naik taraf di bawah seliaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Majlis penyerahan rasmi kedua-dua kapal tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah.
KM KOTA BELUD telah menjalani pembaikan refit di On On Engineering Sdn. Bhd, manakala KM BALUNG melalui proses pembaikan refit dan repowering di Limbungan Scana Industries Sdn. Bhd.
Menurut beliau, penyerahan aset ini membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan kesiapsiagaan operasi berada pada tahap tertinggi demi menjamin keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Majlis tersebut turut diserikan dengan sesi menandatangani dokumen penyerahan antara pihak syarikat terlibat dan Maritim Malaysia, selain pertukaran cenderamata sebagai tanda penghargaan.
Para tetamu turut berpeluang meninjau KM KOTA BELUD dan KM BALUNG yang kini berada dalam keadaan siap siaga untuk melaksanakan tugas operasi di perairan negeri Sabah.
Program diakhiri dengan sesi lawatan, penyampaian amanat khas kepada kru kapal serta sesi bergambar kenangan bersama warga KM KOTA BELUD dan KM BALUNG.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh, Pengarah Bahagian Kejuruteraan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rizal bin Hishamuddin, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali, serta Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM (KSBOL) Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak bin Mohamed.
Hadir sama ialah Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain dan Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Ariffin bin Ghazali.
Majlis turut disertai oleh wakil industri iaitu Pengurus Projek Limbungan Scana Industries Sdn. Bhd, Encik Chu Kett Kuen, serta Pengurus Syarikat On On Engineering Sdn. Bhd, Encik Liew Wui Kong.





















.svg.png)

