KUALA PERLIS, 15 DISEMBER – Seramai 110 kadet Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berganding bahu membersihkan kawasan persisir Pantai Kampung Pulau Ketam bersempena Program Sahabat Maritim dan Khidmat Komuniti di sini, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, program tersebut dilaksanakan sebagai usaha mendidik dan menyemai kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap kepentingan menjaga kebersihan persekitaran pantai serta memelihara ekosistem marin agar terus lestari.
Jelas beliau, hasil program berkenaan, kira-kira satu kilometer kawasan pantai berjaya dibersihkan dengan penglibatan aktif para kadet yang menjalankan kerja pembersihan secara sistematik dan berperingkat.
“Pelbagai jenis sampah yang terdampar di pantai berjaya dikumpulkan, antaranya botol plastik, kaca, tin aluminium, tali serta pukat dan jaring nelayan yang terbiar,”
“Jumlah keseluruhan sisa pepejal yang dikumpulkan dianggarkan hampir satu tan, sekali gus mencerminkan tahap pencemaran yang wujud serta keperluan kepada usaha berterusan semua pihak dalam menjaga kebersihan pantai,” tambah beliau.
Penganjuran program ini turut memperlihatkan komitmen PASKAM UniMAP dalam melaksanakan tanggungjawab sosial serta mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat melalui pelaksanaan inisiatif Service Learning Malaysia University for Society (SULAM) yang berimpak dan berterusan sekaligus dapat menjaga kelastarian alam sekitar terutamanya di kawasan pesisir pantai.




















.svg.png)

