LANGKAWI, 9 DISEMBER - Seramai 120 orang terdiri daripada wakil agensi penguatkuasaan, industri maritim dan komuniti nelayan setempat telah menyertai Program Sahabat Maritim 2025 anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis bertempat di Langkawi hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, berkata program itu memberi tumpuan kepada pengukuhan jaringan kerjasama rentas agensi serta meningkatkan kefahaman terhadap peranan Maritim Malaysia dalam aspek keselamatan perairan.
Beliau berkata, edisi kali ini turut memperkenalkan Program Santuni Madani, pendekatan libat urus baharu yang memfokuskan peningkatan kesedaran keselamatan maritim dan mempererat hubungan dengan komuniti setempat.
“Pendekatan ini membuka ruang kepada komuniti memainkan peranan sebagai rakan strategik dan penyampai maklumat awal dalam insiden di laut,” katanya.
Romli menegaskan bahawa Program Sahabat Maritim bukan sekadar sesi perkongsian maklumat, sebaliknya merupakan platform penting dalam memastikan keselamatan perairan sentiasa berada di tahap tertinggi.
“Melalui Program Santuni Madani, kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti maritim dapat diperkukuh. Penyampaian maklumat yang cepat dan tepat amat kritikal ketika berlakunya kecemasan di laut,” ujarnya.
Beliau turut berharap hubungan erat antara agensi keselamatan dan komuniti maritim akan terus diperkasa bagi mewujudkan perairan negara yang selamat serta kondusif untuk ekonomi dan sumber pendapatan masyarakat.
Sebagai pengisian utama program, Penolong Pengarah Kanan Unit Carilamat dan Bantuan Bencana Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Leftenan Komander Maritim Mohd Naiem Razak, telah menyampaikan taklimat kesedaran dan keselamatan maritim yang menekankan pengurusan risiko, penggunaan peralatan keselamatan, kepentingan laporan awal kecemasan serta peranan komuniti nelayan dalam operasi mencari dan menyelamat.
Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis akan terus mempelbagaikan platform kerjasama dan libat urus bagi memastikan keselamatan perairan negara berada pada tahap optimum melalui pendekatan menyeluruh, inklusif dan berorientasikan komuniti.
Selain Maritim Malaysia, agensi yang terlibat dalam program kali ini ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Hospital Sultanah Maliha, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Petronas Teluk Ewa, Kedah Cement serta Persatuan Nelayan Langkawi.





















.svg.png)

