PUTRAJAYA, 6 DISEMBER – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah bersama beberapa lagi Pegawai Kanan mewakili Maritim Malaysia hadir pada Majlis Pembukaan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam yang berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, hari ini.
Dalam majlis berkenaan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri menegaskan bahawa reformasi perkhidmatan awam perlu dilaksana dengan semangat yang benar-benar tulen, khususnya bagi mengembalikan perkhidmatan awam kepada asas yang cekap, telus dan berfokus kepada hasil.
Program Rancakkan MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam menghimpunkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, pameran interaktif, karnival kerjaya, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran menarik yang disediakan untuk pengunjung.
Maritim Malaysia turut mengambil bahagian melalui reruai Kementerian Dalam Negeri dengan mempamerkan replika aset dan pameran aset statik yang menjadi antara tarikan kepada orang ramai.
Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) ini menyasarkan kehadiran sehingga 300,000 pengunjung.
Program ini dibuka bermula jam 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.



















.svg.png)

