KOTA KINABALU, 15 NOVEMBER – Kapal Ex-USCG Cutter Steadfast milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selamat tiba di Jeti Pelabuhan Kota Kinabalu, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, ketibaan kapal tersebut menandakan satu lagi penambahan aset penting bagi memperkukuh kawalan keselamatan di perairan Negeri Sabah.
Terdahulu, beliau bersama barisan kepimpinan Zon Maritim Negeri Sabah telah menyambut ketibaan kapal berkenaan dari Klang, Selangor setelah berjaya menempuh pelayaran selama 49 hari dari Baltimore, Amerika Syarikat.
Pada acara simbolik sambutan, Pegawai Memerintah kapal, Komander Maritim Mohd Fahimi Omar, telah dipakaikan tengkolok oleh Mohd Khairulanuar selain semua kru kapal turut menerima mafla sebagai penghargaan atas komitmen mereka sepanjang pelayaran menuju ke Sabah.
Selain itu, Pengarah-pengarah Zon Maritim turut menyerahkan cenderamata kepada kru sebagai tanda sokongan dan penghormatan atas kehadiran kapal tersebut yang kini menjadi sebahagian elemen kekuatan pengoperasian Maritim Malaysia di negeri itu.
Mohd Khairulanuar dalam ucapannya, menzahirkan kesyukuran atas ketibaan kapal berkenaan dan menegaskan, dengan kehadiran kapal ini akan membantu meningkatkan kesiapsiagaan serta keberkesanan operasi maritim di Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Ports atas kerjasama dan penyediaan fasiliti sepanjang proses penerimaan kapal tersebut.
Majlis sambutan diakhiri dengan acara memotong pulut kuning sebagai simbolik kejayaan dan tanda kesyukuran atas kelancaran pelayaran kapal berkenaan.





















.svg.png)

