PULAU PINANG, 8 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sedang meneliti cadangan penyewaan Jeti Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) sebagai pangkalan baharu bagi penempatan kapal dan bot operasi Maritim Negeri Pulau Pinang.Cadangan itu dibincangkan dalam satu sesi pertemuan rasmi antara Maritim Malaysia dan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) di Pejabat PPSB, Penang Sentral semalam, bagi menilai potensi kemudahan jeti strategik tersebut sebagai pusat pengoperasian aset maritim di utara Semenanjung Malaysia.Delegasi Maritim Malaysia diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tuan Haji Nor Hisham Ibrahim, bersama Pengarah Bahagian Kewangan dan Belanjawan, Dato’ Barkhiya Shahiruddin, Pengarah Bahagian Pengurusan Aset, Mohd Ilham Udin, Pengarah Bahagian Perolehan, Rosli Bidin, serta beberapa pegawai kanan Ibu Pejabat dan Maritim Negeri Pulau Pinang.Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli memaklumkan, perbincangan hampir dua jam itu turut meneliti aspek teknikal, logistik dan keselamatan bagi memastikan SPCT mampu menampung keperluan pengoperasian aset maritim secara optimum.“Cadangan tersebut dijangka meningkatkan keupayaan logistik, keberkesanan penguatkuasaan dan kesiapsiagaan operasi Maritim Malaysia, terutamanya di kawasan perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perlis yang menjadi laluan utama aktiviti maritim,” tambah beliau selepas hadir pada sesi perbincangan itu semalam.Hasil pertemuan itu menunjukkan kesepakatan positif antara kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan kerjasama strategik bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan pemantauan di perairan negara.Maritim Malaysia percaya usaha ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh infrastruktur dan keupayaan pengoperasian agensi itu di utara tanah air.





















.svg.png)

