PUTRAJAYA, 28 OKTOBER – Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan bin Hussain telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya, hari ini.
Kunjungan selama setengah jam itu bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua agensi dalam aspek penguatkuasaan, keselamatan, dan pengurusan sumber perikanan negara.
Turut hadir menyambut kehadiran delegasi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) ialah Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim (BKPM), Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik, serta Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony.
Seusai kunjungan hormat, satu mesyuarat antara Jabatan turut diadakan melibatkan barisan pegawai kanan daripada Maritim Malaysia dan DOF bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama pelaksanaan operasi, isu penguatkuasaan di laut, serta langkah-langkah mempertingkatkan keberkesanan rondaan dan pemantauan di perairan negara.
Perbincangan ini menzahirkan komitmen bersama di antara kedua-dua agensi dalam memastikan sumber perikanan negara kekal lestari, keselamatan komuniti nelayan terjamin, dan kedaulatan maritim Malaysia terus dipertahankan.
Maritim Malaysia terus menyokong sebarang bentuk kerjasama strategik di antara agensi dalam usaha memastikan pengurusan dan penguatkuasaan undang-undang maritim dilaksanakan dengan lebih menyeluruh serta berkesan.





















.svg.png)

