TAWAU, 24 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau dengan kerjasama Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sabah serta Masjid Babus Saadah, Kampung Muhibbah Raya, berjaya melaksanakan Program Pemuliaan Al-Quran (Pelepasan Abu Al-Quran di Laut) di perairan Tawau, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Norihan Ngah berkata, program ini bertujuan memastikan pelupusan bahan-bahan Al-Quran dilakukan secara tertib dan beradab mengikut kaedah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesucian kitab suci tersebut.
Beliau turut memaklumkan, sebanyak 900 kilogram abu Al-Quran dilepaskan ke laut menggunakan kapal KM KIDURONG, dengan diiring oleh aset Bot HALILINTAR 8 dan Bot BANGGI 12 sebagai pengiring keselamatan.
Upacara pelepasan berkenaan turut disaksikan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Sabah, Tuan Vensis Sabin @ William.
Norihan dalam pada itu menegaskan, program ini bukan sahaja menzahirkan rasa hormat terhadap kesucian Al-Quran, tetapi turut memperkukuh hubungan strategik antara agensi kerajaan dan komuniti Islam setempat.
“Kerjasama seperti ini mencerminkan keprihatinan agensi penguat kuasa dalam memartabatkan nilai-nilai Islam serta memastikan setiap pelupusan bahan Al-Quran dilakukan mengikut tatacara yang beradab dan teratur,” katanya.
Program tersebut turut menjadi simbol sinergi antara Maritim Malaysia dan KDN dalam mendukung agenda pemeliharaan nilai suci agama Islam.





















.svg.png)

