KUALA LUMPUR, 17 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menyertai Program Explorasi Karnival Kerjaya PLKN 3.0 Siri 2/2025 yang berlangsung di Dewan Setia Wira, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Program anjuran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 itu menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan dan badan beruniform bagi memberi pendedahan kepada para pelatih tentang peluang kerjaya dalam perkhidmatan awam serta sektor keselamatan negara.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penyertaan Maritim Malaysia dalam karnival ini bertujuan memberi maklumat dan dorongan kepada pelatih PLKN untuk mengenali peranan agensi serta memahami laluan kerjaya yang ditawarkan.
“Pameran seperti ini memberi peluang kepada golongan muda memahami syarat kelayakan, struktur kerjaya dan keperluan perkhidmatan dalam agensi beruniform seperti Maritim Malaysia. Ia juga membantu mereka menentukan hala tuju selepas tamat latihan,” katanya.
Pameran kerjaya ini turut disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Rejimen 515 Askar Wataniah, Markas Pasukan Simpanan Tentera Udara, serta Markas Pasukan Simpanan TLDM (KD Sri Klang).
Selain mempromosikan peluang kerjaya, Maritim Malaysia turut mengambil kesempatan memberi nasihat keselamatan maritim kepada pelatih PLKN, termasuk kepentingan memakai jaket keselamatan dan mengutamakan aspek keselamatan diri ketika melakukan aktiviti di laut.
Program berakhir dengan sesi bergambar bersama pempamer dan pelatih PLKN sebagai tanda kenang-kenangan.




















.svg.png)

