KUANTAN, 14 OKTOBER – Maritim Negeri Pahang telah menyertai Hari Terbuka Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025 yang berlangsung selama dua hari, bermula 11 hingga 12 Oktober 2025 di Dewan Kompleks Sukan UMPSA, Gambang.
Sesi pengambilan kadet Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) Siri 3/2025 menjadi antara tumpuan utama reruai Maritim Malaysia yang turut menerima sambutan menggalakkan daripada pelajar baharu.
Program yang diadakan selama dua hari itu bertujuan menarik minat mahasiswa untuk menyertai pasukan beruniform serta mendekatkan warga pelajar dengan peranan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah binti Alias yang disambut oleh pegawai penyelaras PASKAM UMPSA, Leftenan Maritim Wan Hussin Zaki bin Wan Abdullah Fadzil sebelum melawat reruai Maritim Malaysia sambil beramah mesra dengan pegawai serta pelajar yang terlibat.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2025 ini membuktikan komitmen berterusan agensi dalam memperkukuh jaringan strategik bersama institusi pendidikan tinggi serta memupuk minat generasi muda terhadap bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim negara.





















.svg.png)

