KUCHING, 11 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah mengambil bahagian dalam Majlis Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar ke-79 yang berlangsung dengan penuh istiadat di Padang Merdeka, Kuching hari ini.
Sambutan yang berlangsung penuh meriah ini turut dihadiri pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, bertujuan menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama di atas kepimpinan dan jasa bakti dalam memimpin Negeri Sarawak ke arah kemajuan dan keharmonian.
Bagi menyemarakkan sambutan tersebut, kontinjen Maritim Negeri Sarawak turut serta dalam perhimpunan dan perarakan yang berjalan dengan lancar dan teratur, melibatkan seramai 45 peserta kawad termasuk pemegang bendera dan sepanduk rasmi agensi.
Penyertaan Maritim Negeri Sarawak dalam majlis istiadat yang penuh bermakna ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan silaturahim antara agensi kerajaan, malah menjadi simbol kesetiaan dan penghormatan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Ia juga menjadi wadah memperlihatkan semangat perpaduan, ketertiban dan komitmen tinggi dalam kalangan warga Maritim Malaysia dalam menyokong aspirasi kepimpinan negeri ke arah kesejahteraan bersama.





















.svg.png)

