PUTRAJAYA, 2 OKTOBER – Maritim Malaysia dengan kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Japan Coast Guard (JCG), telah menganjurkan Kursus Refresher Paint Flake Analysis Technique Siri 4 Bil.2/2025 yang telah berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya dan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, bermula dari 23 September hingga 1 Oktober 2025 semalam.
Kursus melibatkan seramai tujuh peserta, terdiri daripada pensyarah dan pegawai sains Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Fakulti Sains Kesihatan, Program Sains Forensik serta lima pegawai dari Tim Forensik Maritim Malaysia manakala tenaga pengajar dari Research Centre Japan Coast Guard.
Kursus merupakan kesinambungan kepada program latihan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022, yang bertujuan untuk memperkukuh pembangunan penyiasatan tempat kejadian bagi kes pelanggaran kapal di laut.
Objektif utama kursus adalah untuk memberi pengetahuan kepada peserta tentang teknik pengambilan sampel cat serta menganalisis sampel cat dengan menggunakan peralatan Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) dan Scanning Electron Microscopy-Energy Dispersive X-ray Spectroscopy (SEM-EDS).
Selain itu, pihak Research Centre Japan Coast Guard turut melakukan kunjungan hormat ke atas Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM), Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah. Kunjungan merupakan kesinambungan kepada Kursus Paint Flakes Analysis Technique anjuran JICA & BSJM yang sedang dijalankan sebagai usaha memperkukuhkan kerjasama strategik dalam bidang forensik maritim.





















.svg.png)

