KOTA KINABALU, 1 OKTOBER – Pasukan Kadet Maritim Malaysia (PASKAM) buat pertama kali membuka pengambilan kadet di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Minggu Suai Mesra Sesi Akademik 2025/2026, baru-baru ini.
Program dua hari bermula 29 hingga 30 September itu dianjurkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama UMS.
Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, PASKAM diwujudkan sebagai platform pendedahan kepada mahasiswa mengenai peranan dan tanggungjawab Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan serta kedaulatan perairan negara.
“Saya percaya pendedahan awal ini mampu menanam minat serta semangat cintakan negara dalam kalangan mahasiswa, di samping melatih mereka menjadi pemimpin berdisiplin dan berdaya saing,” katanya.
Menurut beliau, bagi pengambilan pertama ini, seramai 50 kadet disasarkan menyertai program berkenaan.
PASKAM akan dijalankan selama empat semester dengan modul latihan merangkumi kepimpinan, ketahanan fizikal, disiplin, pengurusan operasi maritim serta asas keselamatan laut.
Peserta yang tamat pengajian dan latihan akan ditauliahkan sebagai ahli PASKAM bertauliah, sekali gus membuka peluang untuk menyumbang kepakaran dalam bidang keselamatan serta penguatkuasaan maritim pada masa hadapan.
Inisiatif ini juga dilihat sebagai usaha Maritim Malaysia memperkukuh kerjasama strategik bersama institusi pengajian tinggi, selain melahirkan generasi muda yang lebih peka terhadap isu maritim negara.





















.svg.png)

