SHAH ALAM, 1 OKTOBER – Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat Maritim Malaysia (STAR Team) terus membuktikan keunggulan apabila berjaya merangkul gelaran juara dan naib juara dalam acara menyelam marathon 4 X 100 meter berganti-ganti di Kejohanan Sukan Menyelam Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Kompleks Kolam Renang, UiTM Shah Alam, baru-baru ini.
Kejohanan anjuran Persatuan Sukan Menyelam Malaysia itu menghimpunkan kira-kira 60 peserta daripada pelbagai latar belakang dan mempertandingkan empat kategori utama iaitu menyelam marathon 200 meter, menyelam merentas halangan 100 meter (solo), menyelam merentas halangan 100 meter (berpasukan), serta menyelam marathon 4 X 100 meter berganti-ganti.
Pasukan juara membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 berserta piala kejuaraan, manakala pasukan naib juara menerima wang tunai RM300. Kejayaan ini dicapai hasil penglibatan tujuh anggota STAR Team yang dibahagikan kepada dua pasukan.
Majlis perasmian pembukaan dan penutupan kejohanan telah disempurnakan oleh Pegawai Khas Perdana Menteri, YBrs. Encik Muhammad Fikri bin Abdul Aziz. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua peserta yang menunjukkan semangat kesukanan tinggi serta berharap sukan menyelam dapat terus berkembang di peringkat antarabangsa.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan menguji ketahanan atlet dalam arena sukan menyelam, malah turut berperanan sebagai platform mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili negara pada masa hadapan.




















.svg.png)

