KUANTAN, 30 SEPTEMBER – Eksesais Samudera Perkasa Barat Siri 8/2025 (Eks SPB 8/25) yang melibatkan kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah dilancar secara rasmi pagi tadi di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), di sini.
Majlis dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) serta sesi Kunjungan Hormat antara Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Azman bin Rabani.
Kunjungan hormat tersebut menandakan permulaan rasmi bagi eksesais selama seminggu yang bertemakan 'Pengukuhan Penguatkuasaan Undang-undang dan CARILAMAT (SAR) Maritim'.
Seterusnya, majlis pembukaan diadakan di Auditorium AMSAS yang disempurnakan oleh Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi yang turut disaksikan oleh Laksamana Muda Azman.
Dalam ucapannya, beliau menekankan Eksesais Samudera Perkasa Barat merupakan platform penting bagi Maritim Malaysia dan TLDM untuk memantapkan kerjasama strategik dalam aspek penguatkuasaan undang-undang maritim serta operasi carilamat.
“Melalui eksesais ini, kita bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan aset dan anggota, malah turut memperkukuhkan keupayaan operasi bersama dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara," tambah beliau.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Panglima Wilayah 1 Laksamana Pertama Gan Chin Keat, Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan bin Harun, Pengarah Bahagian Operasi Udara (BOU), Laksamana Pertama Maritim Mohd Tahir bin Khalid, Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab, pegawai-pegawai kanan dari Maritim Malaysia dan TLDM dan peserta eksesais.
Eksesais yang bermula hari ini dan akan berakhir pada 6 Oktober 2025 nanti merupakan salah satu fasa penting yang terkandung dalam 'Six Years Exercise RoadMap', melibatkan tiga fasa utama iaitu Fasa Pelabuhan, Fasa Laut, dan Fasa Penutup (Post Exercise Debrief) .
Ia melibatkan pelbagai aktiviti latihan termasuk Table Top Exercise (TTX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE), dan Field Training Exercise (FTX) yang melibatkan aset-aset laut dan udara dari kedua-dua agensi.
Eksesais Samudera Perkasa Barat diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan, meningkatkan interoperability, dan memantapkan prosedur operasi bersama antara Maritim Malaysia dan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan perairan negara.





















.svg.png)

