PUTRAJAYA, 23 SEPTEMBER – Commander Joint Operations Australia, Vice Admiral Justin Jones (Royal Australian Navy) hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.
Ketibaan Vice Admiral Justin pada jam 2.30 petang disambut dengan istiadat Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) di perkarangan lobi sebelum beliau dibawa ke Pejabat Ketua Pengarah untuk sesi pertemuan rasmi.
Turut mengiringi beliau dalam kunjungan ini ialah Kaunselor Australia Border Force (ABF) di Suruhanjaya Tinggi Australia, Superintendan Brooke Leung serta Defence Advisor, Colonel Corey Shillabeer.
Di pihak Maritim Malaysia, hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPSA), Kepten Maritim Mohammad Nasir bin Man, serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Kepten Maritim Mohamad Soharto bin Mat Said.
Pertemuan ini menekankan kepada usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik antara Maritim Malaysia dan pihak berkuasa Australia dalam aspek keselamatan maritim, latihan bersama, serta perkongsian kepakaran khususnya berkaitan operasi penguatkuasaan di laut.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneruskan kerjasama erat bagi menangani cabaran keselamatan serantau termasuk isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan ancaman rentas sempadan yang semakin kompleks.





















.svg.png)

