SEPANG, 22 SEPTEMBER — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini mengadakan majlis ‘Send Off’ bagi tiga pegawai Pasukan Projek Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) yang akan ditempatkan di Desan Shipyard, Turkiye sebagai Pegawai Verifikasi perolehan sebuah kapal MPMS baharu untuk kegunaan strategik Maritim Malaysia.
Majlis yang berlangsung secara ringkas tetapi bermakna itu diadakan Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, yang menzahirkan penghargaan atas komitmen serta pengorbanan pegawai terpilih dalam menjayakan misi penting ini.
Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Hubungan Antarabangsa, Kepten Maritim Mohammad Nasir bin Man, merangkap Ketua Pasukan Projek MPMS, serta disaksikan oleh barisan pegawai kanan dan anggota Maritim Malaysia. Kehadiran mereka melambangkan sokongan dan kepercayaan penuh kepimpinan Agensi terhadap pegawai yang akan ditugaskan di dalam perolehan ini.
Tiga pegawai Pasukan Projek MPMS yang berlepas ialah Leftenan Komander Maritim Noraizan bin Md Noh, Leftenan Maritim Md Haikal bin Md Kamsor dan Leftenan Maritim Mohd Naqeeb bin Mohd Pauzi.
Ketiga-tiga pegawai tersebut berlepas ke Istanbul pada pagi ini sebelum memulakan penempatan rasmi di Pejabat Pasukan Projek MPMS di Kocaeli, Turkiye.
Sementara itu, Datuk Saiful Lizan berkata, penempatan pegawai Maritim Malaysia di Turkiye merupakan satu langkah bersejarah dalam memastikan proses pembinaan kapal MPMS berjalan lancar dan menepati keperluan operasi negara.
“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia, khususnya dalam aspek penguatkuasaan, mencari dan menyelamat (SAR), serta melaksanakan fungsi Wihite Hull Diplomacy di Zon Maritim Malaysia. Kehadiran pasukan projek di Turkiye membolehkan kita memantau rapat setiap fasa pembinaan dan memastikan ia menepati keperluan operasi Agensi,” katanya ketika ditemui di KLIA 1.
Maritim Malaysia yakin dan percaya, dengan penempatan ini ia akan memperkukuh lagi kerjasama antarabangsa, selain memberi nilai tambah kepada keupayaan logistik dan teknikal agensi dalam usaha memastikan keselamatan maritim negara sentiasa terjamin.





















.svg.png)

