PULAU PINANG, 11 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh keupayaan infrastrukturnya apabila Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Tuan Haji Nor Hisham Ibrahim mengetuai lawatan tapak serta sesi libat urus berhubung cadangan sewaan jeti dan perolehan tanah bagi cadangan pembinaan Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang di sini, semalam.
Nor Hisham berkata, lawatan itu bertujuan menilai kesesuaian tapak cadangan selain mendapatkan input awal daripada pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dirancang secara teliti, strategik dan memberi impak tinggi kepada operasi Maritim Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan projek pembinaan Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang ini perlu dilaksanakan secara inklusif, bukan sahaja memenuhi keperluan semasa tetapi turut menyokong pertumbuhan jangka panjang agensi di rantau utara tanah air.
Turut serta dalam lawatan tersebut Pengarah Bahagian Kewangan dan Belanjawan, Dato’ Barkhiya Shahiruddin, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Tuan Haji Mohd Hamzah Murghayah Abdullah, Pengarah Bahagian Pengurusan Aset, Encik Mohd Ilham Udin serta Ketua Cawangan Penempatan Dasar dan Elaun, Kepten Maritim Saliza Ahmad bersama beberapa pegawai lain.
Terdahulu, cadangan sewaan jeti tersebut melibatkan Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT), manakala tapak di Macallum dicadangkan bagi pembinaan ibu pejabat baharu Maritim Negeri Pulau Pinang.
Hadir sama dalam lawatan ini ialah Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli, Timbalan Pengarah Operasi, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, Timbalan Pengarah Pengurusan, Encik Shahrul Harun serta pegawai kanan Maritim Negeri Pulau Pinang.





















.svg.png)

