BALING, 4 SEPTEMBER – Kehadiran anggota penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan mengenakan pakaian operasi Full Gear mencuri perhatian ribuan pengunjung pada Program MADANI Rakyat di Kompleks Sukan Daerah Baling yang berlangsung pada hari ini hingga 6 September 2025.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah berkata, pendekatan sedemikian merupakan sebahagian usaha Agensi ini untuk mendekatkan masyarakat dengan fungsi sebenar Maritim Malaysia.
“Mungkin masih ramai rakyat Malaysia khususnya yang tinggal jauh dari laut kurang mengenali Maritim Malaysia.”
“Jadi inilah cara kami perkenalkan peranan Maritim Malaysia agar masyarakat lebih faham tanggungjawab Agensi ini dalam menjaga keselamatan perairan negara,” katanya.
Selain penguat kuasa Maritim Malaysia, suasana bakal dimeriahkan dengan penampilan khas si cilik, Muhammad Khalish Sufi bin Mohd Noor Hisham, kanak-kanak berusia sembilan tahun yang akan mengenakan pakaian seragam yang sama pada 6 September (Sabtu) nanti, sekali gus menjadikan reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar dan berswafoto sebagai kenang-kenangan.
Sementara itu, Datuk Haji Mohd Rosli turut menjelaskan, selain menjadi penguat kuasa Maritim Malaysia, pihak Agensi turut membuka peluang kepada orang ramai menyumbang tenaga dengan menyertai Pasukan Sukarelawan Maritim Malaysia (PSMM).
“Setakat ini, seramai 158 sukarelawan telah berdaftar di seluruh negara, termasuk 23 orang di Pulau Pinang, 29 orang di Johor, 30 orang masing-masing di Selangor, Pahang dan Zon Maritim Sandakan, Sabah serta 16 orang di Ibu Pejabat,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, peluang sama turut dibuka kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sekolah menengah menerusi penubuhan Pasukan Kadet Maritim (PASKAM).
Untuk rekod, sehingga kini, seramai 586 pelajar menyertainya, melibatkan 300 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), 76 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), 91 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan 119 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Baging, Kuantan.
Datuk Haji Mohd Rosli turut menegaskan, penglibatan masyarakat menerusi PSMM dan PASKAM membuktikan Maritim Malaysia semakin dekat di hati rakyat, malah ia mampu menanam rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga perairan negara.
“Maritim Malaysia mahu rakyat merasa bangga dan bersama-sama memikul tanggungjawab mempertahankan kesejahteraan maritim negara,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, Program MADANI Rakyat di Baling jelas membuktikan, kehadiran Maritim Malaysia telah berjaya membuka mata masyarakat tentang peranan penting Agensi ini dalam menjaga keselamatan perairan tanah air.
Orang ramai yang belum hadir ke program berkenaan, dijemput bagi memeriahkan acara berkenaan dari pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam. Pelbagai aktiviti dan jualan menanti para pengunjung yang hadir pada program tersebut. Masuk adalah percuma.




















.svg.png)

