BANDAR BAHARU, 23 OGOS – Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berlangsung di Dataran Bandar Baharu, Kedah hari ini berjaya menarik ribuan pengunjung, sekali gus memperlihatkan pendekatan KDN yang lebih mesra, terbuka dan dekat dengan rakyat.
Program yang memasuki siri kedua tahun ini jelas membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan negara, di samping memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat di setiap pelosok tanah air.
Pelbagai pengisian menarik turut disediakan termasuk pameran agensi-agensi di bawah KDN, pembukaan kaunter perkhidmatan awam seperti pembaharuan kad pengenalan, permohonan pasport dan pembayaran saman trafik yang memudahkan urusan harian masyarakat.
Suasana program bertambah meriah dengan jualan produk Jabatan Penjara Malaysia, barangan keluaran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain perkhidmatan gunting rambut percuma oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta pelbagai aktiviti santai yang mendapat sambutan hangat.
Program Sua Mesra KDN di Bandar Baharu ini sekali gus membuktikan pendekatan merakyatkan jabatan dan agensi di bawah KDN menjadi kunci hubungan kukuh antara kerajaan dan masyarakat.
Dengan sokongan agensi keselamatan termasuk Maritim Malaysia, aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ihsan, hormat, kesederhanaan dan kebersamaan semakin terserlah sebagai asas dalam membina sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu padu.





















.svg.png)

