TELUK INTAN, 7 OGOS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meneruskan komitmen kebajikannya melalui penganjuran program Kunjungan Kasih oleh Cawangan Protokol dan Kerohanian, Ibu Pejabat Maritim Malaysia terhadap salah seorang bekas pegawai kanan yang telah bersara kerana mengalami masalah kesihatan.
Lawatan itu dilakukan di kediaman Laksamana Pertama Maritim Amir Azwa bin Mohd Alias (Bersara), mantan Pengarah Bahagian Pengangkutan Maritim Malaysia, yang kini memerlukan rawatan dan penjagaan rapi di kediamannya di Lorong Kanan, Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, Perak.
Sebagai tanda prihatin dan penghargaan atas jasa beliau sepanjang perkhidmatannya, pihak Maritim Malaysia telah menyampaikan sumbangan berupa keperluan peribadi serta peralatan penjagaan diri yang amat diperlukan dalam rutin rawatan harian.
Lawatan kebajikan ini melibatkan kehadiran wakil dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia iaitu Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Protokol dan Kerohanian, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Kepten Maritim Razali bin Kasim dan Pegawai Waran II Maritim Norsham bin Saban, serta wakil Ibu Pejabat APMM Negeri Perak iaitu Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob dan Pegawai Waran I Maritim Shaharuddin bin Zulkafli.
Program seumpama ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Maritim Malaysia dalam menyantuni kebajikan warganya termasuk pesara pegawai kanan agensi yang telah banyak menyumbang kepada perkhidmatan dan keselamatan perairan negara.
Maritim Malaysia akan terus komited untuk mengekalkan budaya hormat-menghormati, kasih sayang dan keprihatinan dalam kalangan warganya, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.



















.svg.png)

