PUTRAJAYA, 31 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2025 yang berlangsung penuh istiadat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri YB Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta barisan Jemaah Menteri dan ketua-ketua agensi keselamatan.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah bersama barisan pegawai kanan Maritim Malaysia sebagai tanda penghormatan kepada jasa dan pengorbanan wira-wira tanah air yang telah banyak berbakti dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Sambutan tahunan ini memberi penghormatan kepada para perwira negara dari pelbagai cabang perkhidmatan keselamatan yang telah menunjukkan keberanian, kesetiaan dan pengorbanan luar biasa demi menjamin kesejahteraan serta keamanan Malaysia.
Maritim Malaysia menjunjung kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong atas keberangkatan ke majlis istiadat ini serta menzahirkan penghargaan kepada semua pahlawan negara yang telah berjuang demi tanah air tercinta.




















.svg.png)

