ROMPIN, 18 JULAI – Hari kedua lawatan kerja rasmi Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah diteruskan dengan tinjauan ke tapak cadangan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang di Kuala Lagenda, Pekan dan Pos Maritim Teluk Gading, Rompin, pagi tadi.
Rombongan Ketua Pengarah turut disertai oleh Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab dan Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (CLBB), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh.
Ketibaan rombongan di Kuala Agenda disambut oleh Pengarah Eksekutif Kuala Lagenda Sdn. Bhd., Dato’ Tasnim Jaafar, seterusnya memberikan taklimat ringkas berkenaan cadangan pelan Pembangunan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang.
Datuk Haji Mohd Rosli kemudian nya bersama rombongan bergerak ke Pos Maritim Teluk Gading, di mana ketibaan beliau disambut dengan Kawalan Kehormatan Setempat (KKS) sebelum menandatangani buku pelawat dan meneruskan lawatan sekitar pejabat serta jeti dalam sesi walking brief.
Dalam sesi ini, beliau telah menerima taklimat berhubung pengoperasian semasa dan tahap kesiapsiagaan aset sedia ada di pos berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab menegaskan, pelaksanaan cadangan Kompleks Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang akan memperkukuh keberadaan Maritim Malaysia di negeri ini, selain mempertingkatkan kecekapan operasi, pemantauan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim secara lebih bersepadu.
Secara keseluruhannya, lawatan ini juga memperkukuh komunikasi dua hala antara pengurusan tertinggi dan anggota di peringkat pelaksana, selaras dengan usaha Maritim Malaysia memperkasakan kesiapsiagaan dan pembangunan aset maritim secara berterusan.





















.svg.png)

