KUANTAN, 11 JULAI – Dalam perkhidmatan beruniform yang sering didominasi oleh kaum lelaki, Laskar Kanan Maritim Norlia binti Adenan tampil mencipta sejarah tersendiri.
Dengan penuh dedikasi dan ketabahan, beliau melakar pencapaian gemilang apabila menjadi wanita pertama dalam sejarah Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang berjaya menamatkan Kursus Jurulatih Persenjataan dan Kawad Siri 2 Bil. 1/2025.
Kejayaan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan wanita dalam bidang teknikal dan latihan, malah menyuntik inspirasi kepada seluruh warga agensi bahawa kesetaraan gender dan pemerkasaan modal insan adalah asas penting dalam membentuk pasukan penguat kuasa maritim yang progresif, inklusif dan professional, selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.
Kursus yang berlangsung selama 48 hari bermula 14 April hingga 30 Mei 2025 itu telah dianjurkan di AMSAS dan melibatkan 20 peserta dalam kalangan anggota Maritim Malaysia berpangkat Laskar Kanan Maritim hingga Bintara Kanan Maritim.
Objektif kursus adalah untuk melahirkan jurulatih persenjataan dan kawad yang berkemahiran tinggi, berdisiplin, dan bersedia untuk melaksanakan tugas kepimpinan dalam latihan serta pengurusan perbarisan rasmi agensi.
Kursus ini turut menekankan kemahiran teknikal dan ilmu taktikal dalam aspek persenjataan dan kawad, termasuk pengurusan disiplin semasa latihan, pengendalian senjata api, serta pelaksanaan formasi perbarisan rasmi. Ia menjadi platform penting dalam memastikan kesiapsiagaan dan ketahanan anggota Maritim Malaysia kekal di tahap optimum.
Kejayaan Laskar Kanan Maritim Norlia membuktikan bahawa anggota wanita Maritim Malaysia bukan sahaja mampu menguasai bidang yang mencabar, tetapi juga bersedia menjadi pemimpin dan pencetus inspirasi dalam membina budaya kerja berprestasi tinggi dalam agensi.
Dengan semangat MADANI yang mengangkat nilai kecekapan, hormat, integriti dan keterangkuman, pencapaian ini mengukuhkan komitmen Maritim Malaysia dalam melahirkan anggota yang bukan sahaja berilmu dan kompeten, malah berwibawa dan berjiwa patriotik dalam menjaga kedaulatan perairan negara.
Tahniah dan syabas diucapkan.




















.svg.png)

