MELAKA, 7 JULAI – Sebagai usaha berterusan memperkukuh keselamatan perairan negara daripada ancaman jenayah maritim rentas sempadan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus komited meningkatkan keupayaan dan kapasiti anggotanya melalui penguasaan bahasa asing melibatkan 13 orang peserta daripada pelbagai latar belakang.
Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim (BSJM), Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah telah menyempurnakan Kursus Pengukuhan Bahasa Thailand yang dianjurkan bermula 7 hingga 11 Julai 2025.
Kursus ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama strategik bersama Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam memperkasa kecekapan komunikasi dalam kalangan pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar CALC.
Objektif utama kursus adalah memperkukuh penguasaan Bahasa Thailand dalam kalangan anggota operasi, khususnya dalam situasi seperti pencarian dan penyelamatan (SAR), pencegahan pencerobohan, sesi soal siasat, serta pemantauan aktiviti haram di perairan sempadan yang melibatkan warga Thailand termasuk nelayan, anak kapal atau pihak berkepentingan.
Kemahiran berbahasa asing ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan komunikasi dan operasi lapangan, malah memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia untuk melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah, terancang dan menghormati kepelbagaian budaya selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menekankan ihsan, kemampanan dan hormat dalam tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan awam.
Inisiatif ini membuktikan komitmen Maritim Malaysia untuk menjadi agensi penguat kuasa yang bukan sahaja cekap dari sudut taktikal dan teknikal, malah setanding di peringkat antarabangsa dalam aspek komunikasi silang budaya dan kerjasama rentas sempadan.




















.svg.png)

