KOTA KINABALU, 4 JUN – Isu pencerobohan Vesel Nelayan Asing (VNA) dan penggunaan peralatan menangkap ikan yang diharamkan terus menjadi keutamaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan (MARDOF) Negeri Sabah yang berlangsung buat julung kalinya, hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Malaysia, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz memaklumkan, mesyuarat secara bersemuka ini diadakan melibatkan kerjasama strategik antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Perikanan (DOF) Sabah bagi membincangkan secara mendalam isu keselamatan perairan Sabah yang kian meruncing dan memberi kesan langsung kepada kedaulatan maritim serta ekonomi negara.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut di Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Operasi dan Pegawai Operasi dari enam Zon Maritim utama iaitu Labuan, Sandakan, Tawau, Kudat, Lahad Datu dan Semporna serta delegasi Jabatan Perikanan Sabah yang diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalselia, Encik Ruzlee Jumatin.
Delegasi Jabatan Perikanan turut disertai wakil dari Pangkalan Perikanan seluruh Sabah termasuk di Kudat, Kuala Penyu, Sandakan, Tawau, Semporna dan Lahad Datu. Kehadiran ini memberi gambaran seriusnya pendekatan rentas agensi bagi menangani isu pencerobohan dan salah guna sumber perikanan negara.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuklah kaedah bersepadu untuk membanteras penggunaan ‘bagang’ haram yang semakin berleluasa, serta penyesuaian penggunaan Akta Perikanan di Sabah dalam pelaksanaan operasi di lapangan. Taklimat khas mengenai pemakaian undang-undang perikanan disampaikan oleh Encik Ruzlee turut memberi pencerahan terhadap pendekatan penguatkuasaan lebih berkesan.
Mesyuarat turut mencapai kata sepakat untuk melaksanakan operasi bersama secara lebih tersusun dan berjadual, sebagai tindak balas proaktif terhadap pelbagai ancaman di zon-zon panas perairan negeri ini.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kerjasama erat antara agensi amat penting untuk menyelaras tindakan penguatkuasaan serta meningkatkan kecekapan respons terhadap isu-isu maritim.
“Koordinasi ini bukan sahaja mengelakkan pertindihan tugas, malah memastikan tiada ketirisan hasil laut negara akibat kegiatan haram yang berleluasa di perairan Sabah,” katanya.
Mesyuarat MARDOF Negeri Sabah dijangka menjadi platform tetap untuk merancang pelaksanaan operasi penguatkuasaan yang lebih strategik dan menyeluruh pada masa hadapan.





















.svg.png)

