PUTRAJAYA, 14 MEI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini menerima kunjungan hormat daripada delegasi Korea Coast Guard (KCG) dalam satu pertemuan rasmi yang berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya.
Delegasi KCG yang diketuai oleh Director General Rescue and Safety Bureau, Superintendent General Park Jae Hwa disambut oleh Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh.
Kunjungan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dua hala serta membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua agensi penguatkuasaan maritim.
Pertemuan tersebut turut merangkumi sesi perbincangan bagi meneroka potensi kerjasama baharu dan pertukaran idea dalam pelbagai bidang berkaitan keselamatan maritim.
Satu mesyuarat bilateral turut diadakan dan dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Kepten Maritim Mohd Nasir bin Man.
Mesyuarat memberi fokus kepada penyelarasan Memorandum Persefahaman (MoU) antara APMM dan KCG yang dijangka dapat memperkukuh usaha bersama dalam aspek penguatkuasaan, pencarian dan menyelamat, serta keselamatan perairan serantau.
Turut hadir dalam pertemuan ialah Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama (M) Vincent a/l Rajamony; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli; serta pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia yang terlibat secara langsung dalam perbincangan tersebut.





















.svg.png)

