BANGI, 29 APRIL – Seramai 105 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diraikan hari ini dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024, sebagai penghargaan tertinggi atas komitmen yang dicurahkan oleh para penerima sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli berkata, penganugerahan ini bukan sekadar simbol penghormatan, tetapi menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga Agensi untuk terus mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan profesional.
“Keunggulan Maritim Malaysia bukan hanya terletak pada kecekapan operasi, tetapi pada iltizam setiap pegawainya untuk menjunjung amanah negara dengan penuh taat setia dan keberanian,” katanya lagi.
Datuk Haji Mohd Rosli dalam ucapan yang sama turut menyeru agar para penerima, menjadi teladan dan pembimbing kepada generasi baharu dalam Agensi, selain terus memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan efisiensi dalam setiap lapisan organisasi.
Usai ucapan, Datuk Haji Mohd Rosli turut berkesudian menyampaikan APC kepada para penerima melibatkan warga dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Maritim Negeri Selangor, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Stesen Udara Maritim Subang serta Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Reben Perkhidmatan Cemerlang Maritim (RCM) kepada sembilan penerima APC yang telah menerima sebanyak tiga kali anugerah APC sepanjang perkhidmatan di Maritim Malaysia.
Majlis anjuran bersama Bahagian Sumber Manusia Maritim Malaysia turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Encik Nor Hisham bin Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia.





















.svg.png)

