ALOR SETAR, 19 APRIL – Keupayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam melaksanakan operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) terus diperkasa menerusi penganjuran Kursus Asas Search And Rescue (SAR) Awareness dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) 2025 yang berlangsung selama dua hari di Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah pada 16 dan 17 April lalu.
Kursus yang dikendalikan oleh Seksyen Operasi Zon Maritim Kuala Kedah itu melibatkan 20 peserta daripada Unit Bot, Seksyen Operasi dan Seksyen Keselamatan, dengan objektif utama untuk memperkukuh pengetahuan asas serta kesiapsiagaan anggota dalam mengurus operasi CARILAMAT di laut, khususnya ketika PHC diaktifkan.
Program ini merangkumi dua segmen utama iaitu sesi teori dan taklimat teknikal, diikuti ujian kefahaman secara bertulis yang menilai tahap penguasaan peserta terhadap maklumat dan prosedur operasi CARILAMAT.
Menambah nilai kepada kursus ini, dua pegawai berpengalaman dari Unit Carilamat dan Bantuan Bencana, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi, Leftenan Komander Maritim Mohd Naiem bin Razak dan Leftenan Maritim Syarafuddin Jafni bin Wan Badarudin turut dijemput sebagai tenaga pengajar. Kehadiran mereka membolehkan peserta menyelami pengalaman sebenar pengendalian Operasi CARILAMAT dalam situasi kecemasan di laut.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak yang menyatakan penghargaan atas komitmen dan kesungguhan peserta.
“Latihan seperti ini bukan sahaja mengasah kemahiran taktikal dan teknikal anggota, malah penting dalam memastikan operasi CARILAMAT dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, sejajar peranan Maritim Malaysia sebagai agensi peneraju CARILAMAT negara,” ujarnya.
Beliau turut menyampaikan sijil penyertaan dan cenderahati kepada para peserta serta tenaga pengajar sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam menjayakan kursus ini.

















.svg.png)

