KOTA KINABALU, 17 APRIL – Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan melakar satu lagi sejarah apabila berlangsungnya Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri antara Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik dan Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid @ Razali, di sini semalam.
Majlis berkenaan telah disaksikan oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah.
Turut menyaksikan upacara bersejarah ini ialah barisan pengurusan tertinggi Maritim Malaysia iaitu Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, bersama Pengarah-Pengarah Bahagian, Pengarah Zon, Pegawai Memerintah Kapal, Ketua Bot serta warga Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan.
Sebagai simbolik penyerahan tampuk kepimpinan, Upacara Penyerahan Pedang Scimitar diadakan dengan penuh istiadat. Penyerahan ini menandakan pertukaran rasmi tugas kepada “nakhoda” baharu yang bakal meneruskan perjuangan mempertahankan keselamatan perairan Sabah dan Labuan.
Sementara itu, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi telah diberi amanah baharu sebagai Pengarah Maritim Negeri Johor, selepas memimpin Maritim Sabah dan Labuan dengan penuh dedikasi dan cemerlang.
Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, pelbagai inisiatif penguatkuasaan dan kerjasama strategik berjaya digerakkan, termasuk pengukuhan operasi bersama agensi-agensi keselamatan lain serta penglibatan aktif dalam komuniti maritim tempatan.
Seluruh warga Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas jasa dan kepimpinan cemerlang Datuk Che Engku Suhaimi sepanjang beliau menerajui pasukan di sini.
Pada masa sama, warga Maritim turut mengalu-alukan pelantikan Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar yang sebelum ini bertugas sebagai Pengarah Maritim Negeri Terengganu.
Dengan pelantikan ini, diyakini Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan akan terus kekal mantap, profesional dan komited dalam mempertahankan keselamatan maritim negara di bawah teraju kepimpinan baharu.


















.svg.png)

