KUALA LUMPUR, 15 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini hadir memberi penghormatan terakhir kepada Bekas Perdana Menteri Malaysia ke -5, Allahyarham Tun Abdullah bin Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Seramai 55 warga Maritim Malaysia diketuai Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Encik Mohd Nasir Bin Mohamad Mazlan hadir ke upacara penghormatan terakhir. Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Shahref Steve Mac Queen bin Abdullah.
Kehadiran Maritim Malaysia adalah sebagai tanda penghormatan dan penghargaan atas jasa serta sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah sepanjang pentadbiran beliau, khususnya dalam memperkukuh aspek keselamatan dan penguatkuasaan maritim negara. Tun Abdullah memainkan peranan penting dalam pembangunan institusi penguatkuasaan negara, termasuk menyokong penubuhan Maritim Malaysia pada tahun 2005.
Penglibatan pegawai dan anggota Maritim Malaysia dalam majlis penghormatan terakhir ini mencerminkan komitmen berterusan agensi dalam menghargai jasa pemimpin negara yang banyak menabur bakti kepada tanah air. Suasana penuh hiba dan hormat menyelubungi pekarangan Masjid Negara, yang menjadi lokasi solat jenazah sebelum Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan.
Maritim Malaysia turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar pemergian beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.





















.svg.png)

