KUALA TERENGGANU, 20 MAC – Maritim Negeri Terengganu menganjurkan Program Iftar Jama’i sebagai wadah memperkukuhkan ukhuwah dan menyemarakkan semangat Ramadan. Program ini berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu dengan kehadiran kepimpinan tertinggi Maritim Malaysia, pegawai, anggota, serta keluarga mereka.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Bin Ibrahim; Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Nurul Hizam Bin Zakaria; Pengarah Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Bin Jusoh, Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Hamizan Bin Harun, Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Ab Majid, Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi serta beberapa pegawai kanan Maritim Malaysia.
Antara pengisian utama program ini ialah Majlis Khatam Al-Quran melibatkan 40 peserta tadarus yang telah menyempurnakan bacaan sepanjang bulan Ramadan.
Dalam ucapannya, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim menekankan kepentingan memperkukuhkan nilai spiritual dalam kalangan warga Maritim.
"Ramadan bukan hanya bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang untuk kita meningkatkan amalan, memperkukuh silaturahim, dan menyemai nilai kebersamaan. Program seperti ini membuktikan semangat kekeluargaan yang erat dalam Maritim Malaysia," katanya.
Turut diadakan penyampaian cenderamata kepada peserta tadarus, sumbangan buat pelajar mualaf dari Pusat Bimbingan Saudara Kita, Kompleks Darul Hidayah MAIDAM, serta penyampaian Bingkisan Raya kepada semua petugas semasa Syawal sebagai tanda penghargaan.
Program disusuli dengan iftar jama’i yang dihadiri oleh warga Maritim Negeri Terengganu, anggota RELA bertugas, serta pekerja kontrak pembersihan Ibupejabat Maritim Negeri Terengganu bersama keluarga masing-masing.
Semoga keberkatan Ramadan ini terus menguatkan semangat kebersamaan dalam Maritim Malaysia.




















.svg.png)

