PUTRAJAYA, 24 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Japan International Cooperation Agency (JICA) dan Japan Coast Guard (JCG), telah menganjurkan Kursus Refresh Paint Flake Analysis Technique yang telah berlangsung di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Putrajaya dan Malaysia – Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, bermula dari 17 hingga 23 Januari 2025.
Kursus ini melibatkan seramai tujuh peserta, terdiri daripada dua pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Fakulti Sains Kesihatan, Program Sains Forensik serta lima pegawai dari Tim Forensik Maritim Malaysia manakala tenaga pengajar adalah dari Research Centre Japan Coast Guard.
Kursus ini merupakan kesinambungan kepada program latihan yang telah dilaksanakan sejak tahun 2022, yang bertujuan untuk memperkukuhkan pembangunan penyiasatan tempat kejadian bagi kes pelanggaran kapal di laut.
Objektif utama kursus ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada peserta tentang teknik pengambilan sampel cat serta menganalisis sampel cat dengan menggunakan peralatan Fourier Transform Infrared Spectroscopy (FTIR) dan Scanning Electron Microscopy-Energy Dispersive X-ray Spectroscopy (SEM-EDS).
Selain itu, pihak JICA turut menyumbangkan dua unit mikroskop dan sepuluh unit kamera DSLR kepada APMM bagi meningkatkan keupayaan Tim Forensik dalam penyiasatan tempat kejadian.
Penyerahan peralatan tersebut dilakukan oleh Komander Kono Taro Expert of the MMEA-JICA kepada wakil Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Ahmad Faridi bin Ferdaus, Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maritim dengan disaksikan oleh Minako Sugawara, Pengarah Pejabat JICA Malaysia.





















.svg.png)

