KUALA LINGGI, 25 JANUARI – Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berbesar hati menerima lawatan kerja rasmi Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Tuan Nor Hisham bin Ibrahim, semalam.
Lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan antara Pengurusan Tertinggi Maritim Malaysia dengan Maritim Negeri, selain mengenal pasti isu, memperkenal langkah penambahbaikan, dan memastikan tadbir urus yang lebih efektif.
Hadir sama dalam sesi itu, Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Tuan Haji Ghazali bin Hizam, Pengarah Bahagian Kewangan dan Belanjawan, Dato’ Barkhiya bin Shahiruddin serta Pengarah Bahagian Pengurusan Aset, Tuan Mohd Ilham bin Udin.
Dalam ucapan yang disampaikan Tuan Nor Hisham, beliau menegaskan komitmen Maritim Malaysia untuk menyokong amanah besar negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Beliau turut menekankan pentingnya panduan Teras Tujuh yang dikenalkan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, merangkumi aspek kepimpinan proaktif, kesiapsiagaan aset, dan penerapan teknologi moden seperti Kecerdasan Buatan (AI).
Tahniah juga diucapkan kepada Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan atas kejayaan meraih penarafan Cemerlang lima bintang dengan markah 96.45% dalam Audit Pengurusan Kewangan. Pencapaian ini menjadi penanda aras kecemerlangan yang wajar dicontohi.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Haji Mohd Khairi bin Haji Abd Aziz, meluahkan rasa syukur atas kunjungan Tuan Nor Hisham dan delegasi walaupun dalam kepadatan jadual tugas.
“Kehadiran ini memberi peluang kepada kami untuk memahami dengan lebih jelas aspirasi kepimpinan tertinggi APMM serta membincangkan isu-isu pentadbiran dengan harmoni,” ujar beliau.
Warga Maritim Malaysia diingatkan untuk terus berinovasi, menjaga kebajikan anggota, dan mengutamakan tadbir urus aset bagi memastikan keselamatan negara terjamin, selain mendukung aspirasi Malaysia MADANI.



















.svg.png)

