SUNGAI UDANG, 12 JANUARI – Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haji Mohd Khairi bin Haji Abd Aziz, menghadiri Majlis Pelancaran Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2025 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, di Lapang Sasar 400 meter Kem Terendak, semalam.
Kejohanan ini buat julung kalinya, kerajaan negeri melibatkan 11 badan beruniform.
Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati akan berlangsung dari 18 hingga 31 Januari, manakala Sukan Antara Badan Beruniform dijadualkan bermula 1 hingga 14 Februari. Sebanyak enam acara sukan akan dipertandingkan, termasuk bola sepak, sepak takraw, futsal, bola jaring, badminton, dan golf, dengan Piala Ketua Menteri Melaka menjadi rebutan utama.
Bersempena dengan majlis pelancaran ini, acara menembak novelti pistol VVIP turut diadakan.
Pasukan Panther, yang diwakili oleh Pengarah Maritim Negeri, meraih tempat kedua daripada lapan pasukan, tewas kepada juara, Pasukan Lion.
Dalam acara sampingan Dam Haji, Bintara Muda Maritim Yusman bin Jamil menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya menduduki tempat keempat daripada 50 peserta.
Permulaan yang positif ini diharap dapat menyuntik semangat kepada warga Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk terus berusaha dalam memberikan saingan sengit merebut Piala Ketua Menteri Melaka 2025.



















.svg.png)

