PASIR PUTEH, 2 JANUARI – Maritim Negeri Kelantan (MNK) telah melaksanakan satu program Solat Hajat dan bacaan surah Yasin memohon keberkatan dan mempermudahkan urusan anak-anak warga Maritim Negeri Kelantan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Program ini juga diadakan untuk memohon agar tahun baharu 2025 diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.
Program dimulakan dengan solat hajat berjemaah, di mana semua yang hadir memanjatkan doa dan harapan kepada Allah SWT agar anak-anak yang akan menghadapi peperiksaan diberi ketenangan dan kejayaan dalam menghadapi peperiksaan nanti.
Selain itu, bacaan Surah Yasin turut diadakan bagi memohon keberkatan menempuh perjalanan tahun baru, dengan harapan agar segala urusan warga MNK sentiasa dipermudahkan dan diberi kekuatan dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi, turut memberi ucapan ringkas yang menekankan kepentingan sokongan dan doa kepada anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan SPM. Beliau juga menyeru semua warga Maritim agar tahun 2025 ini dijadikan sebagai peluang untuk mempertingkatkan disiplin dan integriti dalam melaksanakan tugas masing-masing.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kelantan. Komander Maritim Amiludin bin Yenggah dan Timbalan Pengarah Logistik Maritim Negeri Kelantan, Leftenan Komander Maritim Mohd Rahim bin Razali.




















.svg.png)

