PUTRAJAYA, 21 DISEMBER — 20 peserta telah menghadiri kursus mengenai Penggunaan Pengimejan Satelit dan Maklumat Berdasarkan Angkasa Lepas yang dianjurkan oleh United Nations Institute for Training and Research (UNITAR). Kursus tersebut telah diadakanbertempat di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), yang berlangsung dari 16 hingga 18 Disember 2024 lalu.
Kursus bertujuan untuk memberikan pemahaman yang mendalam mengenai penggunaan teknologi satelit dalam keselamatan dan pengawasan maritim. Para peserta didedahkan dengan pengimejan satelit yang boleh diguna untuk memantau ancaman-ancaman utama di perairan Malaysia seperti rompakan, penyeludupan, pencemaran alam sekitar, serta aktiviti-aktiviti haram lain yang mencabar ketenteraman di laut.
Antara silibus yang ditekankan termasuk penggunaan teknologi pengimejan optik dan Synthetic Aperture Radar untuk memantau kawasan maritim yang luas, mengesan kapal yang tidak diketahui (dark ships), serta meningkatkan keselamatan sempadan. Selain itu, kursus juga turut memberi fokus kepada aplikasi teknologi dalam mengoperasikan Unmanned Aircraft Systems (UAS) dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang maritim.
Kursus diyakini dapat meningkatkan kecekapan operasi Maritim Malaysia dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang. Dengan memanfaatkan teknologi pengimejan satelit, ia diharap akan memperkukuh keupayaan Maritim Malaysia dalam menjalankan operasi pemantauan yang lebih efektif.
AMSAS dan UNITAR amat berbangga dapat menyumbang kepada usaha-usaha meningkatkan kapasiti keselamatan maritim negara dengan penggunaan teknologi moden, yang memberi nilai tambah serta impak positif terhadap keberkesanan penguatkuasaan di Zon Maritim Malaysia.




















.svg.png)

