TOKYO, 26 NOVEMBER – Selaras dengan Tujuh Teras Utama yang diperkenalkan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan organisasi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menghantar dua pegawainya untuk menghadiri Forensic Technique Course di Jepun. Kursus ini dianjurkan oleh Japan International Cooperation Agency (JICA) dengan kerjasama Japan Coast Guard (JCG).
Kursus intensif yang berlangsung dari 6 hingga 25 November lalu di Fukuoka dan Tokyo ini telah melibatkan Pegawai Laksana Kapal Maritim (KM) NUSA, Leftenan Maritim Ibrahim bin Abdullah dan pegawai dari Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Leftenan Maritim Syed Ahmad Muhammad Rosuli bin Syed Abu Bakar. Turut terlibat pada program yang sama ialah empat orang pegawai dari Philippine Coast Guard (PCG).
Pada kursus berkenaan, kesemua peserta telah diberi pendedahan tentang teknik pengurusan barang kes serta amalan terbaik yang dilaksanakan oleh JCG.
Program ini meliputi sesi taklimat dan latihan mengenai Crime Scene Photography, teknik pengambilan cap jari, serta lawatan ke Japan Coast Guard Research Centre di Tokyo.
Selain itu, para peserta turut diperkenalkan kepada teknologi canggih, termasuk kaedah analisis Paint Flakes yang digunakan dalam siasatan kes perlanggaran di laut.
Pada Majlis Penutup kursus yang berlangsung pada 25 November lalu di Ibu Pejabat JCG, Tokyo, Leftenan Maritim Ibrahim telah diberi penghormatan menyampaikan Ucapan Penghargaan dan Penutup mewakili semua peserta yang menyertai kursus berkenaan.
Kehadiran pegawai Maritim Malaysia dalam kursus ini mencerminkan komitmen agensi dalam memperkukuh kepakaran teknikal dan profesionalisme anggotanya.
Pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh dijangka akan menyumbang kepada pembangunan organisasi ke arah penggunaan teknologi tinggi serta peningkatan keupayaan penguatkuasaan di masa hadapan.





















.svg.png)

