BATU BERENDAM, 3 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menyertai Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024, bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka yang berlangsung selama empat hari bermula 31 Oktober lalu dan tamat pada hari ini.
KUAM 2024 siri kali ini, Maritim Malaysia telah membawa aset udara, helikopter AS365N3 dalam pameran statik pesawat yang juga turut ditugaskan sebagai pesawat siap sedia bantuan kecemasan sepanjang karnival berlangsung.
Selain itu, di reruai pameran Maritim Malaysia menyajikan pelbagai replika aset laut dan udara seperti kapal, bot ronda, dan pesawat bagi menggambarkan peranan dan kemampuan pengawasan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan perairan negara termasuk peluang kerjaya dalam bidang ini.
Seramai lebih 2,563 pengunjung telah hadir ke reruai Maritim Malaysia dalam tempoh empat hari tersebut. Pameran ini memberi inspirasi kepada generasi muda yang berminat untuk berbakti kepada negara di sektor keselamatan dan penguatkuasaan maritim.
Karnival ini turut meriah dengan lawatan istimewa Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka, selepas solat Jumaat yang meluangkan masa menandatangani buku tetamu di reruai Maritim Malaysia.
Manakala pada majlis perasmian semalam, Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haji Mohd Khairi bin Haji Abdul Aziz menerima cenderamata penghargaan daripada Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh atas kerjasama erat Maritim Malaysia dalam menjayakan karnival ini.
Acara perasmian turut dimeriahkan dengan gimik “flying pass” pesawat CL415MP Bombardier, diikuti dengan terjunan pasukan PARA dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan, swasta dan antarabangsa serta sokongan masyarakat, KUAM 2024 bukan sahaja menyemarakkan semangat penerbangan dan keselamatan udara, tetapi juga memperkukuh kesedaran rakyat terhadap peranan penting sektor maritim dalam mempertahankan perairan negara.





















.svg.png)

