SIMPANG RENGGAM, 30 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah kehilangan seorang anggota yang berdedikasi iaitu Bintara Muda Maritim Sazalie bin Othman, dari Unit Risik Zon Maritim Kuala Kedah yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung semasa bekerja petang semalam.
Jenazah beliau dibawa pulang ke kampung halaman dan selamat dikebumikan sekitar pukul 10.55 pagi tadi di Tanah Perkuburan, Kampung Tengah, Renggam Johor.
Maritim Malaysia telah memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dengan melaksanakan Istiadat Pengebumian dan Kawalan Jenazah yang diiringi oleh pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang terlibat.
Turut hadir ke upacara pengebumian ialah Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Datuk Haji Md Fauzi bin Othman, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan, Kepten Maritim Nik Kamaruddin bin Yunoh, Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri bin Kamil serta beberapa pegawai kanan.
Turut mengiringi jenazah adalah pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Zon Maritim Batu Pahat, Zon Maritim Tanjung Sedili serta Zon Maritim Kuala Kedah.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh dan beriman.





















.svg.png)

