KOTA KINABALU, 30 OKTOBER – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Penglima Haji Hajiji Haji Noor dan W.P Labuan di Menara Kinabalu baru-baru ini.
Sesi pertemuan itu merupakan yang julung kali diadakan selepas Datuk Haji Mohd Rosli dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia ketujuh, 17 September lalu.
Kunjungan hormat bukan sahaja untuk memperkenalkan fungsi dan peranan Maritim Malaysia malah turut membincangkan kerjasama yang boleh dijalinkan secara bersama pada masa akan datang dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terjamin.
Beliau yang pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut memaklumkan sedang mengetuai perancangan bagi membangunkan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) di perairan Sarawak dan Pantai Timur Semenanjung dalam usaha meningkatkan kebolehcapaian radar bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal yang mencurigakan di perairan negara khususnya di Laut China Selatan.
Sesi kunjungan ini diakhiri dengan pertukaran cenderamata dan sesi bergambar sebagai simbolik hubungan baik di antara kedua-dua pihak.
Turut mengiringi kunjungan hormat berkenaan Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik dan Ketua Penolong Pengarah (Sumber Manusia dan Tadbir) Puan Nurhanna binti Hakim.



















.svg.png)

