PUTRAJAYA, 27 OKTOBER – Kejohanan Menembak DSS Trophy 2024 IPSC Handgun Championship Level III yang berlangsung di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS) Putrajaya dari 23 hingga 27 Oktober 2024 menyaksikan pencapaian membanggakan penembak Maritim Malaysia di arena menembak antarabangsa.
Pertandingan ini turut disertai oleh penembak-penembak dari dalam dan luar negara, dengan melibatkan hampir 300 penembak daripada pelbagai pasukan keselamatan, beruniform, serta kelab menembak awam.
Antara pencapaian membanggakan ialah Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril bin Mat Noor, yang berjaya merangkul Naib Johan Keseluruhan bagi kategori Production Optic (Individu) serta menduduki Tempat Ketiga dalam Acara Shoot Off Individu. Kejayaan beliau ini menyerlahkan keupayaan dan ketepatan tinggi dalam menguasai teknik menembak IPSC di peringkat profesional.
Selain itu, Bintara Muda Maritim Syed Omar Jemada bin Said Mohamed Halidi turut mencatat kejayaan cemerlang apabila menduduki Kedudukan Kelapan keseluruhan dalam kategori Production Optic (Individu).
Sementara itu, pasukan Maritim Malaysia juga menunjukkan prestasi unggul dengan meraih Naib Juara dalam kategori Berpasukan Production Optic melalui Pasukan "APMM PO", sekali gus memperkukuh reputasi agensi dalam sukan menembak kompetitif.
Kejohanan ini mempersembahkan lima kategori utama iaitu Open, Production, Production Optic, Standard dan Shoot Off (Individu dan Berpasukan), dengan sokongan penuh daripada penyertaan pelbagai pasukan beruniform serta kelab awam.
Penyertaan besar-besaran dari hampir 300 peserta ini mencerminkan minat yang semakin mendalam terhadap sukan menembak di Malaysia serta potensi besar negara dalam melahirkan penembak-penembak bertaraf antarabangsa.
Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat nama Maritim Malaysia di persada sukan menembak antarabangsa, tetapi juga mencerminkan keupayaan dan semangat juang para penembak Maritim Malaysia yang tidak gentar bersaing di peringkat negara dan antarabangsa amnya.
DSS Trophy 2024 IPSC Handgun Championship menjadi platform penting dalam menguji dan mempertingkat kemahiran serta daya tahan fizikal dan mental penembak-penembak negara.





















.svg.png)

