KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) telah menganjurkan Dialog Penguatkuasaan Undang-Undang Maritim ke-15, yang menghimpunkan delegasi dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata menerusi ucapannya, program ini bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dalam menangani isu-isu keselamatan maritim seperti penangkapan ikan secara haram, penyeludupan, pemerdagangan manusia, dan jenayah rentas sempadan.
“Dialog ini penting dalam memperkuat kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam memelihara kestabilan dan keselamatan di perairan serantau.”
Datuk Saiful Lizan turut memuji sokongan dan kerjasama daripada negara-negara rakan seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Filipina dalam usaha meningkatkan keselamatan maritim.
Beliau menambah, cabaran keselamatan di perairan Asia Tenggara semakin kompleks, dan usaha bersama diperlukan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang maritim yang lebih berkesan.
Dialog ini dijangka memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan, dan mengukuhkan usaha-usaha menangani ancaman yang sentiasa berubah dalam persekitaran maritim.
Mengetuai delegasi Malaysia ialah Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh.





















.svg.png)

